Pilihan terbaik! - Homestay Sg Haji Dorani |MycribBooking

                     Anda sudah membaca artikel saya sebelum ini? Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman saya di Homestay Sungai Haji Dorani! .Teruskan membaca kerana tanpa anda sedari, anda akan melihat keunikan bagi setiap rumah tamu. Hal ini pastinya dapat membantu anda dalam menentukan rumah tamu yang terbaik untuk percutian anda. Jika anda ingin bercuti di Sabak Bernam, Homestay Sg Haji Dorani pastunya salah sebuah pilihan terbaik.Di sini saya berikan sedikit sebanyak pengalaman saya di rumah tamu ini supaya anda yakin dengan pilihan ini.

 

                                                       

 

Pakej yang kami ikuti ialah pakej 2 hari 1 malam yang berharga RM150/orang, banyak aktiviti yang kami berpeluang untuk lakukan.

       Hari Pertama : 

  • Mencanteng batik
  • Menumbuk padi
  • Menggagau ikan
  • Berjalan di kawasan sawah padi

       Hari Kedua

  • Melawat ladang jagung
  • Melawat Perusahaan IKS; bahulu, kerepek dan nata de coco

                    Sebaik sahaja saya sampai di sana saya di sambut oleh orang kampung di sana terutamanya keluarga hos saya .Oleh itu, saya dapat beranggapan bahawa mereka semua peramah. Mereka tidak mewujudkan jurang antara kami jadi kami sangat rapat. Saya juga amat suka cara mereka melayan sesama sendiri seperti mereka telah meluangkan banyak masa bersama. Selepas saya selesai berkenalan dengan semua, mereka menunggu saya untuk mengemas barang-barang saya  dan bersiap sedia untuk aktiviti yang pertama.

 

 

 

                  Kami memulakan aktiviti dengan mencanting batik. Batik merupakan salah satu kraftangan yang unggul di Malaysia. Batik merupakan merupakan satu jenis kain yang dihasilkan melalui proses menerap lilin cair dan mencelup warna. Sejujurnya, saya agak bagus dengan aktiviti ini walaupun saya tidak pernah mencubanya sebelum ini. Mungkin juga menjadikan aktiviti ini sebagai hobi saya selepas ini.

 

 

                  Aktiviti seterusnya adalah menangkap ikan menggunakan tangan. Penangkap-penangkap ikan  akan membenamkan tangan  jauh ke dalam lumpur sambil mencari ikan-ikan yang tersorok dalam lumpur. Ini dinamakan “mongobok” atau bahasa dewan bahasa dan pustakanya “menyeluk”. “Kobok” maksudnya seluk. Aktiviti ini agak susah untuk dilakukan sehinggakan saya hanya berjaya menangkap dua ikan.

 

 

                                                       

               Kami juga berpeluang mencuba aktiviti menumbuk padi. Padi akan ditumbuk untuk mengasingkan padi daripada kulitnya. Alatan menumbuk padi selalunya diperbuat daripada kayu. Selepas menumbuk padi, beras yang telah siap ditumbuk atau dihasilkan melalui proses penghasilan beras tradisi kemudiannya ditampi dengan menggunakan sejenis alat penampi yang dikenali sebagai "nyiru telor buaya" yang diperbuat daripada buluh untuk mengasingkan antah, sekam dan dedak beras bagi menghasilkan beras bersih.

 

 

                Aktiviti terakhir pada hari tersebut ialah berjalan-jalan di kawasan sawah padi. Udara malam di situ amat sejuk dan menenangkan. Kami singgah ke sebuah rumah kampung untuk mempelajari cara membuat terompet daun menggunakan daun kelapa. Terompet ini selalunya dibuat oleh kanak-kanak di kampung ini semasa bermain bersama rakan-rakan. Kami menghabiskan malam tersebut agak awal kerana semua orang telah kepenatan.

 

                    Selain itu, saya juga mendapat peluang untuk melawat kawasan Industri Kecil Sederhana(IKS). Selalunya saya membaca dia artikel tentang pemprosesan makanan tetapi sekarang saya dapat melihat dengan mata saya sendiri. Saya dapat menyatakan perbezaan antara membacanya melalui artikel dan melihatnya sendiri. Oleh itu, anda patut datang ke sini untuk merasainya sendiri. Artikel ini tidak cukup untuk memberikan anda keterujaan yang sebenar. Salah satu aktiviti yang dilakukan ialah pemprosen nata de coco. Produk ini yang dihasilkan melalui proses fermentasi air kelapa yang mana sejenis mikroorganisma bertanggungjawab menghasilkan nata iaitu Acetobacter aceti sub spesies xylinum.  Bakteria ini menghasilkan selapis filem selulosa di atas permukaan cecair yang diperam.  Filem inilah yang dipungut  dan diproses untuk menghasilkan nata.Saya merasakan bahawa semua ini seperti sebuah mimpi melihat mereka membuat apa yang kita selalunya makan.

 

 

                 Tidak dilupakan, saya juga dapat meluangkan masa melawat ladang jagung. Penanaman dengan jentera tanaman dengan jarak 25 cm x 75 cm dengan kadar benih diperlukan sebanyak 15 kg memberikan kepadatan pokok sebanyak 53,333 pokok sehektar. Penyiraman dilakukan setiap hari iaitu pada waktu pagi sekitar 20 minit menggunakan sistem sprinkler kecuali pada hari hujan. Saya berasa sangat teruja kerana pemandangan di ladang jagung tersebut sangat memukau mata saya. Para tetamu juga diberi peluang untuk memetik setongkol jagung setiap orang. 

 

 

 

                  Kami mengakhiri percutian tersebut dengan mengadakan makan tengah hari bersama-sama keluarga hos. Daripada itu, saya dapat berterima kasih kepada keluarga hos saya bagi pengalaman yang tidak boleh dilupakan itu. Saya juga mendapat peluang untuk bertukar nombor dengan mereka supaya kami dapat sentiasa berhubung. Saya tidak dapat menafikan bahawa saya akan pergi ke rumah tamu ini lagi. Ianya terasa seperti duduk di rumah saya sendiri. Saya dapat merasakan bahawa anda semua sudah tertarik untuk ke Homestay Sg Haji Dorani ini.Tidak perlu ragu-ragu, ianya pasti memuaskan hati anda semua.

 

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.mycribbooking.com/view/guesthouse/homestay-haji-dorani-1-17954

Untuk gambaran pengalaman yang lebih jelas, boleh layari https://youtu.be/-ZjeIkDL528


Comment