Pengalaman 2 Hari 1 Malam di Homestay Labu Kubong

                    Apa yang lebih baik daripada Homestay Labu Kubong? Mungkin tiada siapa dapat menjawabnya. Homestay Labu Kubong merupakan rumah tamu terbaik di Kuala Kangsar di mana mereka menyediakan perkhidmatan yang mesra pelanggan. Ini bukan khabar angin dibuat-buat untuk menarik perhatian anda semua tetapi ini merupakan sebuah fakta kerana Homestay Labu Kubong telah berjaya menerima Anugerah Homestay Terbaik Perak 2017 serta menjadi salah satu Homestay Terbaik Malaysia 2016/2017.

 

 

                  Selain daripada menyediakan rumah yang terbaik, mereka juga memberikan layanan yang terbaik dengan menyambut kedatangan kami dengan baik. Secara mudahnya, kami diberikan keluarga angkat untuk menolong saya semasa di sana. Mereka banyak membantu kami dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan. Kami berasa sangat selesa dengan bantuan dan layanan mereka ketika kami berada di sana.Dalam erti kata lain, mereka menjaga kebajikan saya dengan sangat baik.

               Terdapat banyak pakej yang ditawarkan oleh Homestay Labu Kubong, pakej yang menjadi pilihan ramai merupakan pakej 2 hari 1 malam mereka. Daripada hanya RM100/orang, anda boleh menikmati dan melakukan pelbagai aktiviti yang disediakan.

      Hari pertama :

  • Lawatan mengelilingi kampung
  • Sukan Rakyat
  • Menggagau ikan
  • Mandi tali air
  • Malam Kebudayaan

      Hari kedua :

  • Lawatan Industri Kecil Sederhana (IKS)
  1. Bedak sejuk
  2. Kraftangan Surat Khabar
  3. Kuih Tepung Pelita
  4. Asam keping
  5. Madu kelulut
  6. Menoreh getah
  7. Parang dan keris

 

 

 

                 Tidak dapat dinafikan, ianya merupakan sebuah percutian yang menakjubkan kerana tidak diganggu oleh kesibukan bekerja di bandar.Akhirnya saya dapat merasakan ketenangan di kampung. Ramai daripada anak muda kini tidak pernah merasakan pengalaman tinggal di kampung kerana pembangunan yang berlaku sepanjang masa kini dan saya amat bersyukur kerana saya mendapat peluang untuk merasai pengalaman ini. Terdapat pelbagai aktiviti yang disediakan oleh penganjur untuk mengisi masa lapang. Yang lebih menarik, kami juga berpeluang mengisi masa dengar bersiar-siar di kampung dengan menggunakan basikal yang dipinjamkan oleh penganjur.

             Aktiviti pertama kami sungguh menyeronokkan, semestinya sukan rakyat! Aktiviti seperti boling kelapa dan tarik upeh sangat menceriakan hari kami.Sedikit informasi tentang tarik upeh,ianya merupakan satu permainan kanak-kanak yang dimainkan oleh kanak-kanak di beberapa negara ASEAN. Upih pinang adalah pelepah atau pangkal daun pokok pinang. Selain pelapah pinang, pelepah kelapa juga boleh digunakan. Permainan tarik upih ini dimain secara berkumpulan yang terdiri daripada dua orang pemain. Seorang pemain akan duduk di atas upih tersebut sementara seorang lagi akan menarik upih tersebut hingga ke garisan penamat. Selain permainan tarik upih, kami juga telah bermain boling kelapa dan terompah gergasi.

 

 

                  Tidak dilupakan, kami juga mendapat peluang untuk menonton persembahan gendang silat yang amat membuka mata kami kerana kami tidak pernah melihat persembahan sebegitu rupa. Kemudian aktiviti petang kami diteruskan dengan aktiviti menggagau ikan di bendang. Menggagau ikan ialah kaedah menangkap ikan dengan hanya menggunakan tangan sendiri. Bermain lumpur sambil menggagau ikan di sawah merupakan aktiviti yang amat menyeronokkan. Apatah lagi ikan yang dilepaskan dalam sawah itu sangat licik menyembunyikan diri dalam lumpur dan sukar ditangkap.

 

 

            Selepas bermain di dalam lumpur, kami dibenarkan membersihkan diri di tali air yang berdekatan. Dengan air yang bersih dan jernih, tambahan pula kedinginan air yang amat menyegarkan, dilipatgandakan lagi dengan pemandangan kampung yang begitu cantik, semestinya sempurna dinikmati bersama yang tersayang!

 

 

           Lebih menarik, penganjur juga mengadakan malam kebudayaaan dengan persembahan yang menakjubkan dan menyeronokkan. Sesungguhnya, program ini sangat sesuai dan menarik untuk disertai oleh pengunjung dari dalam dan luar negara kerana pelbagai jenis pertunjukan seni tanah air telah dipersembahkan oleh penduduk kampung itu sendiri. Sebagai contoh, terdapat banyak persembahan yang diadakan seperti persembahan Tarian Gunung Ledang, persembahan menggunakan alat muzik dan sebagainya.

 

       Pada hari kedua, kami juga mendapat peluang untuk melawat Industri Kecil Sederhana(IKS) yang memberikan sejuta pengalaman baharu kepada kami. Dengan itu, kami mendapat gambaran sebenar tentang sesetengah kegiatan ekonomi seperti menoreh getah, membuat kraftangan dan keris, membuat kuih tradisional dan sebagainya. Kami juga mendapat pengalaman baru dalam membuat kraftangan dan kuih tradisional yang begitu terkenal iaitu kuih tepung pelita. Kuih tepung pelita merupakan kuih yang mempunyai dua lapisan, yang pada bahagian atasnya dibuat daripada santan dan tepung beras dan di bahagian bawahnya pula diisi dengan air pandan dan gula yang menjadikannya rasa lemak manis. Selalunya kuih ini lebih sedap dikukus dalam bekas yang diperbuat dari daun pisang.

  

 

                Seterusnya, kami juga telah ditunjukkan cara menghasilkan bedak sejuk yang merupakan salah satu alat kecantikan utama bagi wanita pada zaman dahulu. Bedak sejuk jarang digunakan pada masa sekarang kerana terdapat lebih banyak produk kecantikan yang dijual di pasaran. Kemudian, kami dibawa ke ladang getah untuk melihat demonstrasi menoreh getah. Menoreh getah merupakan salah satu kaedah yang digunakan untuk mengeluarkan susu getah daripada batang pokok getah. Selalunya pokok getah yang berumur 5-7 tahun dengan ukurlilit batang melebihi 30 cm sudah sesuai untuk ditoreh. Demonstrasi ini telah ditunjukkan oleh penduduk tempatan yang pernah melakukan kegiatan ini sebagai salah satu sumber pendapatan. Pengunjung juga diberi peluang untuk cuba menoreh getah tersebut.

 

 

 

                  Sebelum berangkat pulang kami dihidangkan dengan lauk makanan tengah hari yang pelbagai dan enak. Kami juga sempat bersalaman dan berterima kasih dengan keluarga hos yang banyak membantu kami menyesuaikan diri di sini. Sebagai kesimpulannya,Homestay Labu Kubong merupakan sebuah tempat yang anda patut pergi apabila anda berada di Kuala Kangsar.Bercakap tentang pengalaman sendiri, perkhidmatan yang disediakan di sana tidak akan pernah mengecewakan anda semua. Segala duit yang anda belanjakan pasti akan dapat memuaskan anda, saya pasti!

 

 

 

Untuk makluman lanjut sila layari https://www.mycribbooking.com/view/guesthouse/homestay-labu-kubong-1-17908

Untuk gambaran pengalaman yang lebih jelas, boleh layari http://youtu.be/rBLvR2-xvKY


Comment