Homestay Relau Bukan Sekadar Homestay Biasa| MyCribBooking

                    Ramai daripada kita yang selalu tersilap dengan konsep rumah tamu di mana mereka semua mempercayai bahawa rumah tamu hanyalah sekadar tempat untuk mereka tinggal semasa bercuti atau kelawat sesuatu tempat.Rumah tamu bukanlah sekadar tempat tidur tetapi sebenarnya ia juga termasuk dengan cara hidup penduduk di sana yang berlainan,tradisi dan sebagainya.Inilah sebabnya kunci untuk percutian yang berjaya ialah dengan memilih rumah tamu yang terbaik dan saya rasa semua yang anda rancangkan akan berjalan baik selepas itu. Sebagai ringkasnya, anda dapat menikmati seluruh perjalanan sekiranya permulaannya baik.

 

 

Terdapat pelbagai pakej yang ditawarkan oleh pihak Farmstay Relau. Antaranya ialah pakej 2 hari 1 malam yang bermula daripada hanya RM180/orang. Antara aktiviti yang kami berpeluang lakukan ialah :

       Hari pertama :

  • Melawat ladang madu kelulut
  • Menoreh getah
  • Melawat ladang kelapa sawit

      Hari Kedua :

  • Permainan Tradisional
  • Demonstrasi silat
  • Mewarna batik

                      Sebagai ilustrasinya, percutian selama 2 hari merupakan tempoh yang cukup untuk membuktikan bahawa Homestay Relau bukanlah seperti rumah tamu yang biasa. Mereka menyediakan perkhidmatan yang lebih daripada apa yang saya harapkan terutamanya pengalaman baru yang tidak boleh dilupakan.Sebaik sahaja saya tiba di rumah tamu tersebut,saya diperkenalkan kepada keluarga hos saya.Tanggapan pertama saya terhadap keluarga hos saya ialah mereka sebuah keluarga yang penyayang dan peramah dan saya bersyukur bahawa saya tidak tersilap tentang itu.Mereka tidak membuatkan saya merasakan diri saya seperti sebuah beban kepada mereka.Apa yang lebih menarik hati saya ialah mereka sanggup mengosongkan masa untuk bersembang dengan saya walaupun jadual yang padat.

 

 

                    Selain daripada itu, penganjur juga sangat sistematik kerana saya sempat melakukan semua aktiviti yang telah dirancang.Sebagai permulaannya, saya dibawa ke kawasan pertanian. Ini merupakan kali pertama saya memulakan aktiviti saya dengan melawat kawasan pertanian yang mana membuatkan saya rasa agak janggal namun ianya berlangsung dengan amat menarik. saya pergi ke ladang madu kelulut untuk melihat cara madu ini dikumpul.

 

                  Selain itu, saya juga mendapat peluang untuk mencuba menoreh getah.Pokok getah yang berumur lebih 5-7 tahun dengan saiz batang sesuai boleh dimulakan aktiviti torehan. Membuka panel torehan pokok getah muda memerlukan kemahiran dan kepakaran khusus. Ini kerana aktiviti ini termasuk juga untuk memasang beberapa peralatan untuk torehan. Antara alatan untuk menoreh pokok getah adalah Pisau Toreh, Cawan kumpul lateks (Seramik atau Plastik), Sudu (Daripada zink), Dawai Pemegang Cawan dan Spring.Walaupun mengambil masa yang agak lama, akhirnya saya mampu melakukannya dengan baik!

 

                      Hari seterusnya, mereka memberikan pendedahan tentang budaya tradisional melayu yang sangat menakjubkan. Sebahagian daripada pelancong tidak pernah bermain permainan tradisional Melayu seperti congkak dan batu seremban jadi mereka agak keliru.Oleh itu, saya menjadi penyelamat mereka dengan menunjukkan cara sebenar untuk bermain supaya mereka mendapat idea yang lebih cerah tentang permainan tradisional Melayu.Dalam permainan Batu Seremban, terdapat beberapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Permainan ini akan bermula dengan peringkat pertama yang mudah, di mana sebiji buah yang dinamakan buah satu digunakan, sehingga ke peringkat yang lebih sukar atau peringkat yang teratas dinamakan buah tujuh.Bukan sahaja permainan dalam, saya jugak dapat menyertai sepak takraw dan ianya menaikkan tahap kecergasan saya.

 

 

                  Tidak dilupakan, sebahagian daripada pelancong asing dari Jepun juga diberikan pengajaran Bahasa Inggeris supaya mereka dapat meningkatkan tahap komunikasi mereka. Selain daripada itu, terdapat juga satu slot untuk mewarna batik.Kehalusan seni batik merangkumi reka bentuk dan corak tekstil diasaskan daripada penggunaan lilin serta bahan pewarna dilukis secara bebas menggunakan canting mempunyai tarikan tersendiri.Dalam slot ini saya dapat menunjukkan bakat tersembunyi saya dengan menghasilkan batik yang paling menarik.

                                            

 

                   Sebagai kesimpulannya, saya amat mengesyorkan anda semua untuk melihat rumah tamu kerana saya amat pasti bahawa anda semua tidak akan kerugian. Keputusan berada di dalam tangan anda dan ianya bergantung kepada anda bahawa anda ingin memilih rumah tamu ini ataupun tidak kerana saya telah melakukan yang terbaik untuk memberikan gambaran tentang rumah tamu ini.

Untuk maklumat lanjut,sila layari https://www.mycribbooking.com/view/guesthouse/homestay-relau-1-17932

Untuk gambaran pengalaman yang lebih jelas, boleh layari http://youtu.be/WV407ZTIVIg

 

 


Comment